Sama ada anda pengguna Microsoft 365, seorang usahawan kecil, atau Syarikat Fortune 500, keupayaan menggunakan perkhidmatan awan dengan cepat, selamat dan boleh dipercayai amat penting untuk memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi harian anda.
Dalam tempoh beberapa tahun lepas, transformasi digital berlaku dengan pantas, dan dicepatkan lagi oleh pandemik yang melanda tanpa diundang. Kemajuan ini dicapai berkat usaha sektor awam dan swasta yang berganding bahu untuk membantu negara kita menyesuaikan diri dengan normal baharu, dan mencapai cita-cita Malaysia untuk menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital, seperti yang digariskan oleh kerajaan dalam Rangka Tindakan MyDigital.
Teknologi awan kini menjadi satu keperluan bagi organisasi yang mahu meningkatkan kekentalan dan merupakan faktor kritikal untuk memperkasakan perniagaan yang ingin mewujudkan persekitaran kerja yang sesuai untuk masa depan. Kerja jarak jauh boleh dilaksanakan dengan lancar di dalam organisasi, sambil mengilhamkan produk, perkhidmatan dan proses baharu, disokong oleh Kecerdasan Buatan (AI), pembelajaran mesin dan analisis data untuk berkembang maju dalam dunia perniagaan global.
Sambil permintaan bagi perkhidmatan awan terus meningkat, kita perlu melabur dalam infrastruktur digital yang boleh membantu mempercepatkan pertumbuhan.
Pelaburan dalam pusat data menjadi keperluan penting untuk mencapai pertumbuhan yang disasarkan. Di peringkat global, Microsoft mengendalikan lebih daripada 200 pusat data termasuk 60 pusat data serantau (datacenter region). Senarai ini bakal ditambah tidak lama lagi dengan pengumuman baru-baru ini untuk menubuhkan pusat data serantau kami di Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen Microsoft Bersama Malaysia. Pembukaan ini bakal menjadikan pusat di negara kita kemudahan terbaharu dalam rangkaian pusat data global Microsoft. Tambahan lagi, Microsoft telah memeterai kontrak perjanjian pembelian kuasa bagi mendapatkan bekalan tenaga hijau 100 peratus bagi tenaga elektrik menghasilkan karbon yang digunakan oleh semua pusat data, bangunan dan kampusnya di serata dunia.
Pembukaan pusat data serantau ini akan mengubah suasana perniagaan semasa. Kita boleh mengambil Ireland sebagai contoh. Apabila industri pusat datanya diperluas, satu kajian mendapati perkembangan tersebut menjana aktiviti bernilai €7 bilion antara 2010 dan 2018, sama ada secara langsung dan tidak langsung. Pembangunan pusat tersebut juga mencipta beribu-ribu pekerjaan, 20,000 daripadanya dalam sektor komputer, elektronik dan peralatan optikal, disokong oleh organisasi yang mengendalikan infrastruktur pusat data besar di sana.
Ireland juga menarik lebih banyak syarikat-syarikat perniagaan dan meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran pekerja untuk memenuhi permintaan. Hakikatnya, pertumbuhan pusat data tempatan membantu pihak lain mencapai matlamat masing-masing.
Di negara kita pula, pusat data serantau yang dirancang di Malaysia dijangka membawa manfaat sosioekonomi yang amat besar kepada ekonomi tempatan. Menurut kajian oleh IDC[1], sumbangan ekonomi pusat data serantau mencecah sehingga USD 4.6 bilion dalam hasil baharu yang dijana menerusi ekosistem rakan kerjasama tempatan dan pelanggan pengguna perkhidmatan awan Microsoft dalam tempoh 4 tahun akan datang. Pertumbuhan selanjutnya dalam perkomputeran awan juga akan membuka 19,000 peluang pekerjaan baharu secara langsung dan tidak langsung oleh Microsoft serta rakan-rakan kerjasamanya, dan juga pelanggan pengguna awan di dalam negara.
Inovasi awan
Pusat data ialah infrastruktur bagi dunia digital, dan data ialah faktor peneraju masa kini. Dengan memanfaatkan teknologi awan, organisasi mempunyai pilihan tambahan untuk membina daya tahan dalam mana-mana industri atau sektor – kerana penggunaan data secara bermanfaat akan menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
PLUS Malaysia, syarikat bina-kendali-pindah milik dan pemegang konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia ini telah menyepadukan Microsoft Azure ke dalam sistem rangkaian tol lebuh raya, menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan keselamatan, keberkesanan dan kecekapan operasi lebuh raya. Organisasi ini juga membina budaya berpacukan data, menggunakan analitik data, pemvisualan dan paparan keseluruhan secara langsung untuk mengkaji pola dan trend, dan seterusnya membuat keputusan yang maklum.
Sime Darby Property, pemaju hartanah terbesar di Malaysia dari segi pegangan tanah, juga berganding bahu dengan Microsoft untuk mencapai cita-cita menjadi organisasi berlandaskan data dan membina infrastruktur yang lebih selamat dan boleh dipercayai, demi mempelopori inovasi dengan pantas. Menerusi penghijrahan kepada infrastruktur awan, model perniagaan bertumpukan pelanggan yang mengutamakan hubungan peribadi dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, di samping menggalakkan kecemerlangan operasi dari mula hingga akhir, iaitu daripada menguruskan kontrak pemerolehan kepada sistem pembelian-ke-pembayaran.
Organisasi terkemuka lain juga menggunakan pakai konsep ‘keamatan teknologi’, membangunkan keupayaan digital mereka sendiri di samping menerima pakai teknologi.
PETRONAS, sebuah syarikat penyelesaian dan tenaga global yang merupakan antara syarikat terbesar dalam senarai Fortune Global 500®️, sedang bekerjasama dengan Microsoft untuk menggiatkan transformasi digital negara merentasi sektor awam dan swasta. Salah satu bidang tumpuan teras termasuk memupuk bakat tenaga kerja sedia untuk masa depan, yang cukup mahir untuk menyokong ekonomi digital Malaysia.
Celcom, sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka, juga mengguna pakai Microsoft Cloud dalam usahanya menjadi kuasa ekonomi digital di rantau ini. Selain mendapatkan penjimatan kos daripada infrastruktur di premis, syarikat ini telah membangunkan ketangkasan yang diperlukan untuk sedia menghadapi masa depan. Kami juga berganding bahu dengan Celcom untuk menggiatkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan perusahaan dan perniagaan tempatan, menerusi tawaran produk berasaskan awan seperti Celcom Cloud Suite.
Tenaga kerja mendahulukan awan, mendahulukan digital
Selain daripada melabur dalam infrastruktur teknologi, kami juga telah memberikan komitmen tambahan untuk melabur dalam komuniti di tempat kami beroperasi. Sebagai sebahagian daripada ikrar untuk Bersama Malaysia, kami bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk melengkapkan 1 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital menjelang Disember 2023, dengan melahirkan bakat-bakat dilengkapi kemahiran teknologi awan yang amat penting dalam proses transformasi digital negara.
Untuk memastikan capaian dan kesan yang terangkum, kami telah menjalin kerjasama strategik dengan PETRONAS, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Junior Achievement Malaysia, TalentCorp Malaysia, MAMPU, Grab Malaysia, Biji-Biji Enterprise dan universiti-universiti tempatan di seluruh negara. Usaha kami untuk meningkatkan kemahiran adalah berlandaskan Inisiatif Kemahiran Global, yang kami lancarkan pada Julai 2020, demi manfaat 110,000 rakyat Malaysia dalam tempoh 9 bulan pertama.
Sejak Microsoft membuka pejabatnya di Malaysia hampir 30 tahun lalu, kami telah bersama-sama negara ini sebagai rakan teknologi yang dipercayai, membawakan teknologi selamat, ilmu pengetahuan dan kefahaman lanjut kepada para pelanggan dan rakan niaga kami. Inisiatif Bersama Malaysia mencerminkan komitmen berterusan kami untuk berkembang maju di sini untuk jangka panjang.
Kami sedang menggiatkan usaha kami untuk menyokong organisasi dari setiap industri, daripada peruncitan dan perbankan kepada pembuatan dan sektor awam, untuk membina ketahanan dan merencanakan semula masa depan mereka. Kami terus bertekad untuk memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam pertumbuhan negara kita. Masa depan kita adalah di awan – dan kami bekerjasama dari peringkat akar umbi untuk membina ekonomi digital Malaysia yang terangkum.
Kami Bersama Malaysia.
[1] Imbasan Info IDC, ditaja oleh Microsoft, Imbasan Dividen Awan Microsoft: Malaysia, Doc. #US46918020, Oktober 2020