Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Microsoft Malaysia akan memacu usaha membangun dan melatih 300,000 pakar digital tempatan dalam masa tiga tahun akan datang. Ini dilaksanakan bagi menggalakkan pertumbuhan tenaga kerja digital negara.
Usahasama ini adalah sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara HRD Corp dan Microsoft di bawah inisiatif Bersama Malaysia baru-baru ini, di mana syarikat teknologi gergasi global tersebut mengumumkan komitmen jangka panjangnya untuk memperkasakan ekonomi digital Malaysia seterusnya mencapai aspirasi MyDigital negara.
Menerusi kerjasama ini, Microsoft akan berkongsi kandungan kemahiran digitalnya dengan HRD Corp, ini termasuk pengetahuan percuma yang mampu menghubungkan masyarakat dengan pekerjaan yang menerima paling banyak permintaan yang ditawarkan oleh LinkedIn, Microsoft dan GitHub sebagai sebahagian daripada inisiatif kemahiran global mereka.
Selain itu, Microsoft juga akan menyediakan kandungan industri berkenaan Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT) serta transformasi digital untuk perniagaan manakala HRD Corp akan memfokuskan kepada pembangunan program latihan dan pensijilan melalui rangkaian platformnya yang komprehensif di samping mengenal pasti, menarik dan mendapatkan pelatih yang tepat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat mendokong usaha transformasi digital nasional yang dibawakan oleh Microsoft dan Kerajaan dengan mengetengahkan tenaga kerja dalam bidang digital yang tepat untuk pelbagai keperluan industri dan perniagaan.
“Usahasama awam-swasta yang menampilkan Microsoft, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), HRD Corp serta para pemain sektor swasta tempatan yang terkemuka akan mengubah cara kita membangunkan masyarakat sekali gus ekonomi kita.
“Ini juga merupakan peluang bagi rakyat Malaysia untuk meningkat dan menambah kemahiran baru yang akan menjadikan mereka lebih ‘dipandang’ oleh majikan untuk satu jangka masa yang panjang,” katanya.
Menyentuh mengenai kerjasama tersebut, Pengarah Urusan Micrososft Malaysia, K. Raman berkata, ketika Malaysia menyasarkan masa depan yang mengutamakan digitalisasi, tenaga kerjanya perlu dilengkapkan dengan kemahiran yang relevan yang akan menjadikan mereka berdaya tahan dan berdaya saing.
“Inilah sebabnya mengapa Microsoft secara aktif bekerjasama dengan HRD Corp serta pihak berkepentingan yang lain dalam sektor awam dan swasta. Ini sejajar dengan matlamat kami untuk memperkasakan setiap rakyat dan organisasi di Malaysia dalam ekonomi digital,” ujarnya.
Microsoft dan HRD Corp juga akan memanfaatkan platform HRD Corp Placement Center bagi memberikan peluang penempatan dan pekerjaan kepada peserta yang berjaya. Kerjasama tersebut juga akan memberi peluang kepada Microsoft dan HRD Corp untuk memulakan program pensijilan bersama untuk suatu jangka masa yang panjang.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, organisasi tersebut telah berkembang daripada sekadar menyediakan program latihan untuk tenaga kerja Malaysia kepada memperkasakan rakyat Malaysia dalam mendapatkan peluang profesional berdasarkan kemahiran, pengalaman serta pengetahuan mereka.
Menurutnya lagi, HRD Corp percaya bahawa usaha Microsoft dan kerajaan ini akan menjadikan rakyat Malaysia berupaya mendapatkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan dalam ekonomi digital di dalam dan luar Negara untuk satu jangka yang panjang.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia, Microsoft juga bekerjasama dengan beberapa pihak lain untuk menubuhkan MyDigital Alliance Leadership Council, sebuah platform untuk membangunkan cadangan polisi cloud-first dan digital-native untuk kerajaan yang turut dianggotai Datuk Shahul Hameed, yang bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan tenaga kerja digital Malaysia di samping memastikan mereka berdaya saing secara global dalam jangka panjang.