Dalam suasana di mana komputer peribadi (PC) memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan kita, Windows 11 telah direka cipta untuk mendekatkan anda dengan apa yang anda suka.
YouTube Video
Tanggungjawab mereka cipta perisian untuk begitu ramai orang tidak pernah sama sekali kami pandang ringan. Dalam tempoh 18 bulan lepas, perubahan ketara telah berlaku dalam cara kita menggunakan (PC); daripada menyesuaikan PC dengan kehidupan kita kepada menyesuaikan kehidupan kita ke dalam PC. Peranti yang kita gunakan sekarang bukan sahaja tempat untuk menghadiri mesyuarat, kelas dan bekerja, tetapi juga ruang sosial untuk turut serta dalam permainan dengan rakan-rakan, menyaksikan rancangan kegemaran dan paling penting, berhubung dengan satu sama lain. Dalam proses tersebut, kita sedikit sebanyak dapat mewujudkan semula suasana sembang di pejabat, perbualan dengan rakan sekerja, aktiviti senaman, waktu bersantai dan juga sambutan perayaan – semuanya secara digital.
Apa yang begitu mengagumkan ialah perubahan dalam PC yang boleh kita lihat dan rasai sendiri – daripada sesuatu yang praktikal dan berfungsi kepada peranti bersifat peribadi dan penuh emosi. Perubahan inilah yang mendorong kami membina generasi baharu Windows. Untuk membawakan sesuatu yang nampak sama, di mana anda boleh mencipta, belajar bermain dan paling penting, berhubung dengan cara baharu.
Pada hari ini, saya dengan sukacitanya dan teruja untuk memperkenalkan Windows 11 kepada anda, Windows yang mendekatkan anda dengan apa yang anda suka.
Kami telah meringkaskan reka bentuk dan pengalaman pengguna untuk meningkatkan produktiviti dan merangsang daya kreativiti anda. Perisian ini bersifat moden, segar, kemas dan cantik. Daripada butang Start dan palang taskbar baharu kepada setiap bunyi, fon dan ikon, setiap satu diteliti untuk memastikan anda dapat mengawal segala fungsi dan melakukannya dengan tenang dan senang. Butang Start menggunakan kuasa awan dan Microsoft 365 untuk memaparkan fail yang baru anda gunakan daripada semua platform atau alat yang anda gunakan sebelum ini, biarpun peranti Android atau iOS.
Windows sentiasa berusaha membantu anda bekerja dengan cara yang anda kehendaki, menawarkan fleksibiliti berbilang tetingkap dan keupayaan untuk menyusun aplikasi secara bersebelahan. Kami telah memperkenalkan Snap Layout, Snap Group dan Desktop sebagai ciri baharu dalam Windows 11 untuk menyediakan cara yang lebih berkesan melaksanakan berbilang tugasan dan menentukan apakah kerja yang perlu dilakukan. Inilah ciri-ciri baharu yang direka suai untuk membantu anda menyusun tetingkap dan mengoptimumkan ruang skrin supaya anda boleh melihat apa yang anda perlukan dalam paparan visual tersusun. Anda juga boleh mencipta Desktop berasingan bagi setiap aspek kehidupan dan membuat penyesuaian mengikut kehendak hati anda – bayangkan anda boleh menyediakan Desktop berbeza untuk bekerja, bermain atau belajar.
Windows 11 mengurangkan kerumitan dan menjadikan segalanya lebih mudah.
Sebahagian penting daripada usaha untuk mendekatkan anda dengan apa yang anda suka ialah mendekatkan anda dengan orang-orang tersayang. Tempoh 18 bulan yang lepas telah mengubah cara kita menjalin hubungan sesama insan yang bermakna secara digital. Walaupun kita sudah mula kembali kepada interaksi bersemuka, kami berhasrat untuk terus membolehkan orang ramai menjalin hubungan erat, tidak kira di mana mereka berada. Kami tidak mahu peranti atau platform berbeza yang anda gunakan menjadi penghalang.
Dengan Windows 11, kami sukacita untuk menyepadukan kemudahan Chat (Aplikasi Sembang) daripada Microsoft Teams ke dalam taskbar. Kini anda boleh berhubung dengan serta-merta menerusi teks, sembang, suara atau video dengan semua kenalan peribadi anda, di mana-mana tidak kira platfrom atau peranti yang mereka gunakan, sama ada menerusi Windows, Android atau iOS. Jika orang yang ingin anda hubungi tiada aplikasi Teams, anda masih boleh berkomunikasi dengan mereka menerusi SMS dua hala.
Windows 11 juga menyediakan cara yang lebih santai untuk berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga menerusi Teams, membolehkan anda serta-merta membuka atau menutup mikrofon, atau memulakan pembentangan terus daripada taskbar.
Jika anda penggemar permainan komputer, Windows 11 sememangnya direka cipta untuk anda. Permainan menjadi asas kewujudan Windows. Pada hari ini, beratus juta orang di seluruh dunia menyertai permainan komputer menerusi Windows dan menyelami keseronokan dan mengeratkan hubungan dengan orang-orang tersayang dan rakan-rakan menerusi permainan. Windows 11 memanfaatkan potensi penuh perkakasan sistem, menggunakan kuasa teknologi permainan terkini demi manfaat anda. Contohnya: DirectX 12 Ultimate, yang memaparkan grafik luar biasa dan mengasyikkan pada kadar kerangka yang tinggi; DirectStorage untuk masa muat naik lebih pantas dan dunia permainan yang lebih terperinci; dan Auto HDR untuk julat warna yang lebih luas dan terang dan pengalaman visual yang sungguh menarik. Kami tetap komited untuk menjamin keserasian perkakasan – Windows 11 menyokong aksesori dan alatan PC kegemaran anda. Dengan Xbox Game Pass untuk PC atau Ultimate, para pemain boleh menikmati lebih 100 permainan PC bermutu tinggi yang sentiasa ditambah untuk meluaskan pilihan. Memang mudah untuk mencari teman permainan, tidak kira sama ada mereka bermain menggunakan PC atau konsol permainan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri-ciri permainan yang disediakan dalam Windows 11, sila layari Xbox Wire.
Windows 11 memudahkan anda mendapat berita dan maklumat yang penting bagi anda dengan Widgets – saluran peribadi baharu pacuan AI dan prestasi pelayar terbaik dalam kelasnya daripada Microsoft Edge. Walaupun kita memberikan tumpuan penuh dan mengerah daya kreativiti, kita masih perlu berehat seketika – untuk meluangkan masa melihat apa yang berlaku di dunia luar atau melapangkan fikiran seketika. Pada hari ini, kita lazimnya menggunakan telefon untuk membaca berita, melihat keadaan cuaca atau menyemak pemberitahuan. Kini anda boleh mendapatkan maklumat terpilih terus daripada desktop anda. Apabila anda membuka saluran maklumat peribadi, ia menyusuri skrin seperti sekeping kaca supaya tidak mengganggu apa yang anda sedang lakukan. Bagi pencipta dan penerbit, Widgets juga membuka ruang baharu di dalam Windows untuk memaparkan kandungan khusus. Matlamat kami ialah untuk mencipta kumpulan jenama global dan juga pencipta tempatan dengan cara yang boleh dimanfaatkan pengguna dan juga pencipta.
Microsoft Store baharu ialah lokasi tunggal yang diyakini untuk mendapatkan aplikasi dan kandungan yang membolehkan anda menonton, mencipta, bermain, bekerja dan belajar. Gedung aplikasi ini telah dibina semula supaya lebih pantas dengan reka bentuk serba baharu yang menarik dan mudah digunakan. Kami bukan sahaja akan memuatkan lebih banyak aplikasi untuk anda, tetapi juga memastikan semua kandungan – aplikasi, permainan, rancangan, filem – lebih mudah untuk dicari dan ditemui dengan kisah dan koleksi yang telah disesuaikan khas untuk anda. Kami teruja untuk mengalu-alukan penyertaan aplikasi pihak ketiga seperti Microsoft Teams, Visual Studio, Disney+, Adobe Creative Cloud, Zoom dan Canva ke Microsoft Store – semuanya menawarkan pengalaman luar biasa untuk menghiburkan hati, memberi inspirasi dan menghubungkan anda. Anda boleh memuat turun aplikasi daripada Store dengan ketenangan fikiran kerana mengetahui setiap aplikasi telah diuji dari segi perlindungan dan keselamatan keluarga.
Kami juga tidak sabar-sabar untuk mengumumkan bahawa kami bakal membawakan aplikasi Android ke Windows buat julung kalinya. Bermula lewat tahun ini, pengguna boleh mendapatkan aplikasi Android di Microsoft Store dan memuat turunnya menerusi Amazon Appstore – bayangkan anda merakamkan dan memuat naik video dari TikTok atau menggunakan Khan Academy Kids untuk proses pembelajaran maya terus dari PC anda. Kami akan menerangkan lebih lanjut tentang pengalaman ini pada bulan-bulan akan datang. Kami akan menjalin pakatan dengan Amazon dan Intel, menggunakan teknologi Intel Bridge mereka.
Kami sedang dalam proses untuk terus membuka Microsoft Store bagi mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar bagi pereka dan pencipta. Kami membolehkan pereka dan pencipta perisian bebas (ISV) untuk menawarkan aplikasi mereka, tidak kira sama ada aplikasi dibina berasaskan Win32, Progressive Web App (PWA), atau Universal Windows App (UWP) atau mana-mana kerangka aplikasi lain, membuka peluang untuk melibatkan dan mencapai lebih ramai orang. Kami juga mengumumkan perubahan progresif kepada dasar perkongsian hasil kami yang membolehkan pereka perisian kini membawakan sistem dagangan mereka sendiri ke dalam Store kami dan mendapat 100% daripada hasil – Microsoft tidak mengambil apa-apa. Pereka Perisian juga masih boleh menggunakan sistem dagangan kami pada kadar perkongsian hasil kompetitif 85/15. Kami bertekad membina ekosistem lebih terbuka yang akhirnya membawa manfaat kepada pelanggan – memberi mereka capaian lebih selamat dan mudah kepada aplikasi, permainan, filem, rancangan dan kandungan web mengikut kemahuan dan keperluan mereka.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perubahan kepada Microsoft Store, sila layari catatan Windows Blog ini.
Jika anda mahu mendapatkan maklumat lanjut tentang ciri-ciri Windows 11 bagi pereka dan pencipta, sila layari Windows Developer Blog.
Bagi IT, Windows 11 dibina berasaskan landasan Windows 10 yang konsisten, serasi dan lazim. Anda merancang, membuat persediaan dan mengguna pakai Windows 11 seperti yang dilakukan hari ini dengan Windows 10. Menaik taraf kepada Windows 11 sama seperti melakukan kemas kini Windows 10. Pengalaman pengurusan yang ada pada hari ini – seperti Microsoft Endpoint Manager, konfigurasi awan, Windows Update untuk Perniagaan dan Autopilot – akan menyokong persekitaran masa depan sambil anda menyepadukan Windows 11 ke dalam dunia perkomputeran anda.
Seperti Windows 10, kami benar-benar komited kepada keserasian aplikasi, yang merupakan faktor reka bentuk teras Windows 11. Kami memberi jaminan bahawa aplikasi anda akan berfungsi dengan Windows 11 menerusi App Assure, perkhidmatan yang membantu pelanggan dengan 150 atau lebih pengguna menyelesaikan semua isu aplikasi tanpa sebarang kos tambahan.
Windows 11 juga selamat dari segi reka bentuk, dengan teknologi keselamatan sedia terbina yang akan meningkatkan perlindungan menyeluruh dari cip ke awan, sambil meningkatkan produktiviti dan mencetus pengalaman baharu. Windows 11 menyediakan sistem operasi yang sedia melaksanakan Zero Trust (Kepercayaan Sifar) untuk melindungi data dan capaian di seluruh peranti. Kami telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan OEM dan silikon untuk meningkatkan tahap keselamatan asas bagi menghadapi ancaman yang sentiasa berubah dan dunia kerja hibrid serba baharu.
Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang Windows 11 sebagai sistem operasi bagi kerja dan pembelajaran hibrid di blog Microsoft 365.
Masa terbaik untuk membeli PC
Sejak hari pertama membangunkan Windows 11, kami telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kami dalam bidang perkakasan dan silikon untuk menyepadukan perisian dan perkakasan dengan lancar. Proses kejuruteraan bersama ini bermula dengan inovasi silikon. Daripada kelebihan grafik luar biasa yang dihasilkan oleh pemproses Ryzen daripada AMD kepada prestasi luar biasa Pemproses Evo Gen Ke-11 Intel, serta keupayaan AI Qualcomm, sokongan 5G dan Arm, inovasi rakan-rakan silikon kita menyerlahkan keupayaan terbaik Windows 11 dengan mewujudkan ekosistem perkakasan terbesar di dunia.
Malah dengan Dell, HP, Lenovo, Samsung, Surface dan jenama lain, kami telah berusaha untuk memastikan kebanyakan PC* yang boleh anda beli pada hari ini sedia untuk memanfaatkan Windows 11 – meliputi pelbagai reka bentuk dan harga.
Bersama-sama, kami telah menyesuaikan Windows 11 bukan sahaja untuk dioptimumkan bagi kelajuan dan kecekapan, tetapi mengambil kesempatan daripada pengalaman lebih baik dengan sentuhan, dakwat elektronik dan suara.
Apabila anda menggunakan Windows 11 dalam tablet tanpa papan kunci, kami telah menambah baik pengalaman untuk ciri sentuhan, lantas mewujudkan ruang lebih luas antara ikon pada taskbar, membesarkan sasaran sentuhan dan isyarat visual halus untuk memudahkan pertukaran saiz dan pergerakan tetingkap dan juga menambah isyarat gerak jari pengguna. Kami juga menggunakan teknologi haptik untuk menjadikan pengalaman penggunaan pen lebih menarik dan mengasyikkan – membolehkan anda mendengar dan merasai getaran sambil anda klik dan menyunting atau melakar. Akhir sekali, kami telah menaik taraf ciri menaip menggunakan suara. Windows 11 memang mempunyai keupayaan hebat untuk mengesan turut kata anda; ia boleh meletakkan tanda secara automatik untuk anda dan mempunyai arahan suara. Ciri ini amat berguna apabila anda sudah penat menaip dan ingin mengutarakan idea anda secara lisan.
Windows 11 akan disediakan menerusi kemudahan naik taraf percuma bagi PC Windows 10 yang layak dan juga PC baharu bermula pada musim cuti ini. Untuk menyemak sama ada PC Windows 10 anda layak untuk naik taraf percuma kepada Windows 11, layari Windows.com untuk memuat turun aplikasi Pemeriksaan Kesihatan PC. Kami juga akan bekerjasama dengan rakan-rakan niaga runcit kami untuk memastikan PC Windows 10 yang anda beli hari ini sedia untuk dinaik taraf kepada Windows 11. Naik taraf percuma ini akan mula dilaksanakan bagi PC Windows 10 yang layak pada musim cuti ini dan diteruskan sehingga 2022. Pada minggu hadapan, kami akan berkongsi versi awal Windows 11 dengan Program Windows Insider – komuniti ini terdiri daripada peminat Windows tegar yang sedia memberi maklum balas mereka yang amat penting bagi kami.
Windows bukan setakat sistem operasi biasa; ia merupakan sebahagian daripada kehidupan dan juga kerja kita. Di sinilah tempat kita berhubung sesama insan, tempat kita belajar, bermain dan bekerja. Secara beransur-ansur ia sudah menjadi kebiasaan dan sebati dengan diri kita. Kami berharap anda juga amat teruja seperti kami untuk menggunakan Windows 11.
Kami tidak sabar-sabar untuk melihat keupayaan Windows memperkasakan insan dan mendorong mereka untuk mereka cipta.
*Dapatkan PC yang layak untuk naik taraf percuma, atau anda boleh minta maklumat lanjut daripada peruncit anda.