Microsoft and LinkedIn release the 2024 Work Trend Index on the state of AI at work in Malaysia
June 6, 2024
微软与领英联合发布2024年马来西亚人工智能工作趋势指数报告 
June 6, 2024

Microsoft dan LinkedIn kongsi hasil kajian Indeks Trend Kerja 2024 bagi penggunaan AI di tempat kerja di Malaysia

Read this in English and Mandarin

Data baharu mendapati bahawa pekerja di Malaysia menggunakan AI semasa bekerja walaupun kurang sokongan daripada organisasi—pemimpin kini perlu rebut peluang ini untuk menjana impak positif bagi perniagaan

Kuala Lumpur, 6 Jun 2024 – Microsoft Corp. dan LinkedIn telah mengumumkan laporan bersama mengenai hasil Kajian 2024 Work Trend Index (Indeks Trend Kerja 2024) bagi penggunaan AI semasa bekerja, dengan hasil penemuan baharu mendapati bahawa pekerja pengetahuan Malaysia lebih kerap menggunakan AI berbanding rakan-rakan sejawat global mereka.

Laporan bertajuk “AI di tempat kerja semakin berleluasa. Kini tiba masa untuk mengatasi cabarannya” adalah berasaskan tinjau selidik yang dijalankan ke atas 31,000 orang dari 31 negara*, penilaian trend tenaga kerja dan pengambilan pekerja di LinkedIn, bertrilion isyarat produktiviti Microsoft 365 dan penyelidikan ke atas pelanggan Fortune 500.

AI ternyata menjadi tumpuan utama di tempat kerja pada tahun 2024, dengan penggunaan AI generatif semasa bekerja telah berganda dalam tempoh enam bulan lepas. LinkedIn juga mendapati ada peningkatan ketara dalam kalangan profesional yang memasukkan kemahiran AI dalam profil masing-masing, dan kebanyakan pemimpin perniagaan berkata mereka tidak akan mengambil pekerja yang tidak menguasai kemahiran AI.

Bagaimanapun, ramai pemimpin di Malaysia bimbang bahawa syarikat mereka tiada wawasan AI dan pekerja pula membawa peralatan AI mereka sendiri ke tempat kerja. Menyedari hakikat ini, para pemimpin telah sampai ke peringkat lebih mencabar dalam usaha memanfaatkan teknologi ini: iaitu beralih daripada peringkat cuba jaya kepada menghasilkan manfaat perniagaan yang nyata.

“Tahap penggunaan alat AI generatif memang luar biasa dan kami juga sedang melihat trend yang menggalakkan dari segi penggunaan AI dalam kalangan pelanggan kami di Malaysia. Indeks Trend Kerja 2024 mendedahkan bahawa 84% daripada pekerja pengetahuan Malaysia sudah pun menggunakan AI di tempat kerja untuk kekal produktif, menjimatkan masa dan meningkatkan kreativiti – dan mereka tidak berpeluk tubuh menunggu pelancaran wawasan dan pelan hala tuju terselaras daripada organisasi mereka. Memandangkan AI kini semakin penting kepada perniagaan, para pemimpin perlu menunjukkan kesungguhan untuk mencuba jaya dengan pantas dalam usaha mencapai transformasi perniagaan,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

Indeks Trend Kerja telah mendedahkan tiga penemuan penting yang perlu diketahui dan ditangani segera oleh setiap pemimpin dan profesional terhadap impak AI terhadap kerja dan pasaran buruh pada tahun-tahun yang mendatang:

  1. Pekerja mahu menggunakan AI semasa bekerja—dan tidak akan menunggu syarikat untuk merangka pelan AI yang sesuai:

84% daripada pekerja pengetahuan di Malaysia (berbanding 75% di peringkat global) kini menggunakan AI semasa bekerja. Sebahagian besar daripada pekerja menghadapi kemelut terpaksa menghabiskan terlalu banyak kerja dalam masa yang ditetapkan dan menurut mereka AI menjimatkan masa, mendorong kreativiti dan membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap kerja yang paling penting.

Walaupun 88% daripada pemimpin di Malaysia yakin syarikat mereka perlu menggunakan AI untuk mengekalkan daya saing, 66% bimbang pucuk pimpinan organisasi mereka tiada rancangan dan wawasan untuk melaksanakannya. Justeru pekerja membuat keputusan untuk bertindak sendiri. 83% daripada pengguna AI Malaysia membawa alat mereka sendiri—Bawa AI Anda Sendiri atau Bring Your Own AI (BYOAI). Selain menimbulkan risiko kepada data syarikat, kesannya ialah syarikat tidak dapat memanfaatkan kelebihan penggunaan AI secara strategik pada skala besar. Sesungguhnya setiap pemimpin boleh menggunakan momentum ini untuk menjana pulangan pelaburan yang kukuh daripada penggunaan AI.

  1. Pertambahan pengguna mahir AI—dan apa yang didedahkan tentang masa depan:

Pengguna mahir AI boleh ditakrifkan sebagai seseorang yang menggunakan teknologi beberapa kali seminggu, menjimatkan masa kerja sebanyak 30 minit sehari. Di Malaysia, 85% daripada pengguna mahir lazimnya memulakan hari mereka dengan AI, manakala 82% lagi menggunakan AI untuk merancang hari kerja berikutnya.

Pengguna mahir AI di Malaysia 50% lebih berkemungkinan untuk mendapat tahu tentang kepentingan AI generatif daripada CEO masing-masing, tetapi hanya 22% mungkin menerima latihan AI yang bersesuaian dengan tugasan atau fungsi khusus mereka. Untuk memberikan sokongan kepada pengguna mahir, pemimpin perlu memainkan peranan dengan menyediakan latihan khusus, sambil menerapkan budaya sedia menerima perubahan di dalam syarikat.

  1. Bagi pekerja, AI membuka peluang dan meluaskan sempadan kerjaya:

65% daripada pemimpin di Malaysia berkata mereka lebih suka memilih calon kurang berpengalaman yang mempunyai kemahiran AI berbanding calon lebih berpengalaman yang tiada kemahiran tersebut.

Sehingga lewat tahun lepas, kami melihat peningkatan 142x dalam ahli-ahli di peringkat global yang menambah kemahiran AI seperti ChatGPT dan Copilot kepada profil LinkedIn masing-masing sementara sebutan AI dalam iklan kekosongan jawatan di LinkedIn memacu peningkatan permohonan sebanyak 17%.

“Syarikat-syarikat semakin menyedari akan keperluan untuk merangka strategi pengambilan kakitangan berbakat yang baru seiring dengan transformasi kerja berpacukan AI yang sedang dialami di Malaysia,” kata Rohit Kalsy, Ketua Jualan, Pasaran Baru Muncul, Asia Tenggara, LinkedIn. “Dalam era di mana keperluan bagi kakitangan berbakat kian berubah pada kadar yang begitu pantas, pemimpin yang mengutamakan ketangkasan dan melabur dalam pembangunan kemahiran untuk membina tenaga kerja celik AI akan mendapat kelebihan daya saing. Di Malaysia, 62% pemimpin perniagaan tidak akan mengambil pekerja yang tiada kemahiran AI, manakala 65% akan memilih seseorang yang kurang berpengalaman tetapi menguasai kemahiran AI. Penemuan ini menekankan bahawa kemahiran AI bukan lagi satu kelebihan, tetapi merupakan keperluan dalam dunia kerjaya masa kini. Maklumat yang dikumpulkan dalam tempoh setahun lepas menunjukkan bahawa golongan profesional menyedari keperluan meningkatkan kemahiran masing-masing dengan sewajarnya bagi menghadapi era AI – kami telah melihat sejumlah besar pelajar yang mengikuti kursus AI utama di Linkedin sejak Januari 2023 di Asia Tenggara, Australia dan India.”

Organisasi terkemuka seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Johor Corporation (JCorp) merintis jalan untuk mengguna pakai Microsoft Copilot dan alat AI lain untuk memacu transformasi budaya dan perniagaan.

“AI mewakili kemajuan yang ketara untuk PNB, menawarkan peluang baharu bagi pertumbuhan strategik. Mengintegrasikan AI bukan sahaja mempermudahkan operasi; ia juga membolehkan kita membuka kemungkinan baharu. Dengan melengkapkan ahli organisasi kita dengan kepakaran AI secara progresif, kita dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk memanfaatkan data dan membuat keputusan yang berinformasi. Ini juga membantu kita menyampaikan nilai yang lebih besar kepada para pemegang saham kita dan memenuhi tujuan kita untuk meningkatkan kehidupan kewangan rakyat Malaysia dari generasi ke generasi,” kata Ts. Izzat Aziz, Ketua Pegawai Teknologi PNB.

“Di JCorp, kami sedang menggiatkan penggunaan AI dengan membina budaya yang menggalakkan kakitangan untuk menyesuaikan diri dan menerima pakai teknologi baharu. Matlamatnya bukan setakat meningkatkan kecekapan, tetapi juga memperkasakan kami untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi AI. Kami menggalakkan kakitangan kami untuk memanfaatkan data dan menggunakan AI untuk mengoptimumkan hasil dan kos, meningkatkan kecekapan kerja, mendorong inovasi dan menghasilkan produk dan perkhidmatan lebih baik. Kami bertekad meningkatkan produktiviti dan kreativiti dengan melengkapkan mereka dengan alatan AI. Perubahan budaya menjadi kunci untuk kekal di hadapan dalam suasana perniagaan pantas masa kini,” kata En. Ahmad Yusri Mohamad, Ketua Pegawai Digital, JCorp.

Semasa berkongsi hasil kajian, Microsoft turut mengumumkan keupayaan baharu bagi Copilot dalam Microsoft 365, manakala LinkedIn pula menyediakan lebih daripada 50 kursus pembelajaran untuk pelanggan LinkedIn Premium yang dirangka khas untuk meningkatkan penguasaan AI dalam kalangan profesional dari semua peringkat.

  • Copilot kini lebih mesra perbualan dengan mencadangkan prom susulan atau bertanyakan soalan untuk mendapatkan penerangan lanjut bagi memberikan jawapan sebaik mungkin.
  • Antara muka perbualan baharu dalam Copilot akan memberikan cadangan proaktif pada masa yang sesuai berasaskan aktiviti semasa seperti “anda tidak hadir mesyuarat jualan Selasa. Berikut adalah ringkasan mesyuarat” atau menandakan e-mel penting untuk dijawab.
  • Kotak prom dalam Copilot kini mempunyai auto pelengkap berasaskan pengalaman, membolehkan pengguna mendapatkan hasil lebih baik daripada prom mereka. Jika anda pernah menulis prom tersebut, ciri olah semula baharu akan menukarkan prom asas kepada yang lebih menyeluruh berasaskan mesyuarat, dokumen dan e-mel kerja.
  • Ciri terkini Copilot Lab akan membolehkan kakitangan mencipta, menerbitkan dan menguruskan prom yang disesuaikan khas mengikut pasukan mereka.

LinkedIn kini menyediakan alatan AI untuk membolehkan anda kekal di hadapan dalam perjalanan kerjaya, dengan lebih daripada 600 kursus AI buat masa ini dan 50 kursus pengajian AI baharu yang disediakan untuk semua secara percuma sehingga 8 Julai.

  • Di samping itu, bimbingan yang dikendalikan AI menyediakan pengisian khusus dan pembelajaran menerusi perbualan.
  • Untuk pelanggan LinkedIn Premium, rumusan peribadi berpandukan AI di LinkedIn Feed memberikan anda maklumat, idea dan tindakan untuk diambil.
  • Peralatan yang dipacu AI memudahkan anda menilai kesesuaian anda untuk mengisi sesuatu jawatan dengan pantas, berasaskan pengalaman dan kemahiran anda. Anda juga boleh mendapatkan nasihat tentang cara untuk menonjolkan diri dan cadangan untuk membina kemahiran.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi Blog Rasmi Microsoft, Laporan Indeks Trend Kerja 2024 , dan layari LinkedIn untuk mendengar pandangan Ketua Ekonomi Syarikat, Karin Kimbrough.

*Pasaran Asia Pasifik yang terlibat dalam kajian termasuk Australia, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.