Read this in English and Mandarin
(Gambar di atas) Dari kiri: Laurence Si, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia; Andrea Della Mattea, Presiden Microsoft ASEAN; YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia; Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital; Izwan Ismail, Naib Presiden Kumpulan Teknologi dan Pengkomersialan PETRONAS di Sidang Kemuncak Microsoft Cloud dan AI Malaysia menyambutkan pelancaran inisiatif AI for Malaysia’s Future (AIForMYFuture).
Kuala Lumpur, 10 Disember 2024 – Microsoft hari ini mengumumkan pelancaran “AI for Malaysia’s Future” (AIForMYFuture), inisiatif baharu yang bertujuan untuk melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI menjelang penghujung tahun 2025. Pengumuman ini dibuat semasa Sidang Kemuncak Microsoft Cloud dan AI Malaysia.
AIForMYFuture juga menyokong usaha Kerajaan Malaysia yang lebih luas untuk terus menggalakkan tenaga kerja Malaysia menambah ilmu dan menguasai kemahiran baharu dan memastikan penghasilan bakat yang mantap bagi pekerjaan berkaitan AI. Ini termasuk bekerjasama rapat dengan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang akan dilancarkan tidak lama lagi, diterajui oleh Kementerian Digital, untuk memacu agenda AI menerusi kerjasama rentas sektor.
“Apabila sektor awam dan swasta bekerjasama dalam transformasi AI, AI dapat berkembang dengan lebih meluas di Malaysia – daripada sektor pertanian di utara hingga industri semikonduktor di Pulau Pinang, serta perniagaan di kawasan bandar dan usahawan di seluruh negara. Kerjasama ini akan menghasilkan hab ekonomi pintar dan ekosistem AI yang kondusif: satu ekosistem yang mendorong inovasi tempatan, membuka peluang, meningkatkan kebolehkerjaan, dan akhirnya membawa manfaat kepada perniagaan serta rakyat,” ujar YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia, dalam ucapannya.
“Indeks Trend Kerja 2024 Microsoft mendapati bahawa 84% daripada pekerja pengetahuan Malaysia sudah menggunakan AI di tempat kerja – yang membuka peluang besar untuk menyalurkan minat yang ditunjukkan ini bagi mencetus impak yang lebih meluas,” kata Laurence Si, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia. “Pelancaran AIForMYFuture mengukuhkan lagi komitmen kami untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan mereka untuk menyertai ekonomi AI Malaysia dan memainkan peranan dalam pertumbuhan berpacukan AI negara ini.”
Melalui AIForMYFuture, Microsoft akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri, pendidikan, dan masyarakat sivil untuk menyediakan peluang peningkatan kemahiran AI di semua peringkat masyarakat. Inisiatif ini akan menawarkan pengalaman pembelajaran yang disesuaikan untuk pelbagai kumpulan – daripada pegawai kerajaan dan penjawat awam, profesional dalam industri utama, guru, pelajar, komuniti yang terpinggir, hingga pencari kerja dan pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.
Untuk mencapai cita-cita tinggi melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran ini menjelang 2025, AIForMYFuture akan dilaksanakan menerusi:
1. Kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan untuk membudayakan AI: Microsoft akan bekerjasama dengan pelbagai organisasi, termasuk Kementerian, agensi Kerajaan dan perusahaan sosial untuk menggalakkan penguasaan kemahiran AI dalam semua segmen masyarakat, bagi membina kefasihan digital dan AI, sambil memberi tumpuan kepada tenaga kerja yang sedia untuk AI.
2. Menggalakkan penggunaan dan kesediaan AI dalam industri: Inisiatif ini juga memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai industri, dengan meliputi sektor awam dan perusahaan swasta, daripada syarikat korporat besar kepada PKS.
3. Membangunkan bakat yang sedia merencanakan masa depan menerusi Pendidikan: Inisiatif ini termasuk memberi peluang kepada pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi, termasuk institusi TVET, bagi mempersiapkan pelajar untuk turut serta dalam ekonomi berpacukan AI dan menghasilkan bakat kepakaran AI dan para pencipta generasi akan datang.
4. Membangunkan Ekonomi AI yang terangkum: AIForMYFuture juga akan melengkapkan segmen masyarakat yang disasarkan dengan kemahiran AI dan digital, termasuk golongan terpinggir dan usahawan wanita, lantas menyediakan Pendidikan AI dalam skala yang lebih luas.
5. Memperkasakan tenaga kerja masa depan kita – Microsoft baru-baru ini melancarkan AI Skills Navigator yang memberikan panduan langkah demi langkah untuk mempelajari kandungan AI bagi setiap rakyat Malaysia, dengan cadangan khusus untuk semua golongan melengkapkan diri mereka dengan Kemahiran AI asas dan lanjutan.
Inisiatif ini sesungguhnya mencerminkan komitmen syarikat untuk meluaskan penggunaan AI dan memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi AI Malaysia. Usaha ini adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan penggunaan AI meliputi pelbagai sektor seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju AI Negara 2021-2025.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Microsoft akan bekerjasama dengan NAIO dan Kementerian Digital, serta berganding bahu dengan pelbagai rakan kerjasama, termasuk Biji-biji Initiative, HRD Corp, Persekutuan Perdagangan dan Industri Wanita Antarabangsa Malaysia (IWFCIM), Jobstreet by SEEK, MyDIGITAL Corporation, Urusetia Majlis TVET Negara (MTVET), dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Komitmen AIForMYFuture menyusuli inisiatif membina kemahiran Microsoft baru-baru ini di Malaysia, termasuk kejayaan melengkapkan lebih daripada 1.53 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital menjelang 2023, sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia.
Awal tahun ini, Microsoft memperkenalkan program AI TEACH Malaysia bersama Biji-Biji Initiative untuk melengkapkan pendidik dan pelajar TVET dengan kemahiran AI. Bagi memastikan pembelajaran inklusif, Microsoft juga bekerjasama dengan IWFCIM melalui program Ready4AI&Security, yang menyokong wanita dalam membina kerjaya dalam bidang AI dan keselamatan siber. Sehingga Oktober 2024, lebih daripada 73,000 orang telah mendapat manfaat daripada program-program ini.
Rakyat Malaysia boleh memulakan proses pembelajaran AI peribadi mereka secara percuma hari ini dengan mengunjungi AI Skills Navigator yang disediakan Microsoft di: aka.ms/AISkillsNavigator
Ketahui bagaimana Hidayah Ibrahim, bekas guru tadika, kini memperoleh hampir dua kali ganda gaji sebagai satu-satunya kakitangan pentadbiran di sebuah kemudahan penyimpanan pembinaan selepas menyertai program Microsoft Skills for Jobs:
YouTube Video