KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2020 – Microsoft Malaysia telah mengumumkan penambahan baharu untuk barisan kepimpinannya, bagi mengukuhkan dan merancakkan pertumbuhan digital bagi pelanggan di Malaysia. Azizah Ali telah dilantik sebagai Pengarah Kumpulan Kecil, Sederhana dan Korporat (SMC), sementara Millie Yong akan memimpin sebagai Pengarah Penjualan Penyelesaian, sejajar dengan fokus syarikat dalam membantu memenuhi keperluan digital pelanggan dalam ‘new normal’.
Azizah telah bersama Microsoft selama lebih dari dua dekad dan beliau telah memegang beberapa jawatan kepimpinan di rantau Asia Pasifik. Sebelum ini, beliau telah memainkan peranan penting sebagai Pengarah Kumpulan Sektor Awam dalam memulai inisiatif nasional seperti projek eGovernment dengan kerajaan Malaysia. Susulan itu, Azizah telah dilantik sebagai Pengurus Negara untuk Microsoft Brunei pada tahun 2009, di mana dia mengetuai inisiatif perkongsian antara Kerajaan Brunei dan Microsoft untuk menubuhkan Pusat Pembangunan Perisian Brunei.
Pada tahun 2013, beliau kembali ke Microsoft Malaysia sebagai Pengarah Kumpulan Penyelesaian Pasaran Kecil dan Sederhana serta Rakan Kongsi. Kemudiannya, Azizah mengambil peranan antarabangsa sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan Microsoft Asia Pasifik untuk Sektor Awam pada tahun 2017. Dalam peranan baharunya yang berkuatkuasa pada September 2020, Azizah akan memberi tumpuan untuk menyokong SMC dalam aspirasi transformasi digital mereka, dengan memadankan cabaran pelanggan dengan penyelesaian Microsoft dan memanfaatkan ekosistem rakan kongsi Microsoft yang aktif.
“Transformasi digital amat penting pada zaman ini,” kata Azizah. “Ketika negara kita giat memperkasakan ekonominya melalui pertumbuhan perniagaan, teknologi akan memainkan peranan penting dalam memastikan perniagaan kekal beroperasi dan berkembang di masa depan. Oleh yang demikian, saya amat terhormat untuk kembali bekerjasama dengan rakan-rakan kerja saya di Microsoft Malaysia dan menyokong perkembangan SMC di Malaysia ke arah kejayaan. ”
Turut menyertai barisan kepimpinan Microsoft Malaysia ialah Millie Yong, yang telah dilantik sebagai Pengarah Penjualan Penyelesaian, jawatan kepimpinan yang baru diwujudkan. Dalam peranannya, Millie akan menawarkan kepimpinan berwibawa dalam penjualan dan kemahiran teknikal untuk memacu transformasi digital dalam kalangan pelanggan perusahaan di Malaysia. Bersama dengan pasukan pakar penjualan dan teknikal, Millie juga akan menyediakan penyelesaian rentas teknologi baharu dan relevan untuk pelanggan sambil membantu mengembangkan kemampuan digital mereka.
Millie memiliki pengalaman lebih dari 20 tahun merentasi industri termasuk institusi perkhidmatan kewangan (FSI), telekomunikasi, pembuatan, dan peruncitan. Sebelum menyertai Microsoft, Millie memegang pelbagai jawatan di IBM, termasuk Pengurus Besar IBM Systems dan Pengurus Jualan Negara untuk Sektor Perbankan, Insurans dan Kewangan. Beliau juga memegang pelbagai peranan penjualan dan teknikal di Siemens dan Hewlett-Packard, sebelum menyertai dengan Microsoft Malaysia pada tahun 2018.
“Pemikiran inovatif adalah penting dan diperlukan untuk memenuhi keperluan perniagaan hari ini, khususnya bagi sektor perusahaan yang merupakan penyumbang utama ekonomi Malaysia,” kata Millie. “Berikutan peningkatan integrasi teknologi dalam proses organisasi secara lebih rancak, kami akan menawarkan penyelesaian dan nasihat teknologi yang diperlukan bagi organisasi untuk mentransformasi dan mengembangkan perniagaan mereka. ”
Mengulas mengenai pelantikan mereka, K. Raman, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, berkata: “Seluruh dunia telah mengalami perubahan besar, dari cara pengguna berinteraksi dengan perniagaan, sehingga cara organisasi beroperasi. Jelas sekali, tahun 2020 telah membawa gelombang digitalisasi besar yang sekaligus merancakkan transformasi digital, khususnya dalam kalangan SMC dan perusahaan. Kami di Microsoft tegas dalam visi kami untuk memperkasakan setiap orang dan organisasi di Malaysia untuk mencapai lebih banyak. Kami amat gembira dengan penyertaan Azizah dan Millie dalam pasukan kepimpinan kami. Bersama-sama kami akan terus berusaha untuk mendorong pertumbuhan yang bermakna bagi pelanggan kami di Malaysia, bagi membina daya tahan untuk masa depan melalui penggunaan teknologi yang inovatif.”
The post Microsoft Malaysia tingkat pengalaman pelanggan dengan lantikan kepimpinan baharu appeared first on Microsoft Malaysia News Center.