KUALA LUMPUR, 8 Julai 2021 – Microsoft Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Junior Achievement (JA) Malaysia, telah menjalin kerjasama untuk meningkatkan tahap kemahiran kira-kira 25,000 rakyat Malaysia, khususnya para graduan dan penggangur, menerusi Program Kemahiran Digital Bagi Kerjaya Hari Esok (Digital Skills for Tomorrow’s Jobs).
Program ini selaras dengan matlamat Kerajaan menerusi MyDIGITAL dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara untuk membangunkan bakat professional digital tempatan yang berdaya saing termasuk 30,000 professional data menjelang 2025, lengkap dengan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan yang giat berubah.
Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada 25,000 rakyat Malaysia menerusi webinar mengenai kemahiran digital dan sains data, berdasarkan sumber daya industri dan latihan Microsoft. Keutamaan akan diberikan kepada para graduan dan individu yang menganggur di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, seramai 400 peserta akan dipilih untuk mengikuti kursus intensif yang merangkumi bimbingan mentor dan latihan kemahiran insaniah bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka. Peserta boleh memilih antara lima laluan kerjaya pilihan– iaitu penganalisis data, ahli sains data, operasi pembangunan, pencipta perisian dan sokongan IT. Kursus-kursus ini ditawarkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, bagi menggalakkan penglibatan dan memudahkan penyertaan peserta.
Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO, berkata kerjasama awam-swasta merupakan pemangkin penting untuk melahirkan bakat digital berwibawa dengan meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula tenaga kerja, demi mencapai aspirasi MyDIGITAL yang dipayungi oleh Dasar 4IR Negara untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi berasaskan digital. “Usaha memahirkan semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia, terutamanya mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, amat penting untuk membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja hari ini yang mencabar dan juga berusaha mencari dan mencapai kejayaan dalam ekonomi digital. Kami teruja dengan kerjasama ini dan bersama-sama bertekad untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh bakat-bakat tempatan kita dan membantu mengukuhkan tenaga kerja digital Malaysia,” katanya.
K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia berkata, “Memandangkan masa depan Malaysia bakal dibina berlandaskan ekonomi yang mendahulukan digital, tenaga kerja digital akan menjadi pemacu penting yang mendorong pemulihan ekonomi negara. Kami baru-baru ini mengumumkan inisiatif Bersama Malaysia, yang merangkumi komitmen untuk melengkapkan 1 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital menjelang Disember 2023. Sejajar dengan usaha ini, kami berbesar hati menjalin kerjasama kukuh dengan PERKESO dan JA Malaysia. Kami ingin bersama-sama menyokong bakat-bakat digital agar kekal berdaya saing dan berjaya dalam ekonomi Malaysia yang mendahulukan digital.”
Usaha akan turut dilaksanakan bagi memastikan calon yang berjaya akan ditawarkan peluang pekerjaan, latihan amali atau pratikal. Bagi menyokong matlamat ini, Microsoft akan bekerjasama dengan PERKESO dan JA Malaysia untuk melibatkan ekosistem rakan kongsi dan pelanggan Microsoft untuk menjadi sebahagian daripada program ini.
Datuk Timothy Garland, Pemegang Amanah Junior Achievement Malaysia, berkata perniagaan dan organisasi di seluruh dunia, telah melaksanakan transformasi, dengan mengguna pakai teknologi baharu untuk terus beroperasi dalam persekitaran luar biasa akibat COVID-19. “Di samping penggunaan teknologi yang kian meningkat, terdapat permintaan seiring bagi kemahiran digital – membuka peluang keemasan untuk mereka mencari kerjaya yang diminati. Di samping Microsoft dan PERKESO, dan juga CloudSwyft sebagai rakan Sistem Pengurusan Pembelajaran, kami berhasrat membawa kemahiran digital kepada rakyat Malaysia dan melengkapkan mereka untuk membina kerjaya masa hadapan.”
Bagi memeterai kerjasama ini, Microsoft, PERKESO dan JA Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini. K. Raman, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed dan Datuk Timothy Garland menandatangani MoU bagi pihak organisasi masing-masing di majlis yang diadakan dalam talian.
Peserta yang berminat boleh mendaftar mulai 8 Julai 2021 melalui www.myfuturejobs.gov.my/upskilling-reskilling. Untuk pertanyaan, hubungi Whatsapp: 013-533 2468, Talian Hotline: 1300 22 8000 atau e-mel digitalskills@jamalaysia.org.