Photo above (From left to right): Mr. Fabian Bigar, CEO of MyDIGITAL Corporation; Dato’ Zainal Azman bin Abu Seman, Deputy Director General of Public Service (Operations), Public Service Department; Jean-Philippe Courtois, Executive Vice President and President, National Transformation Partnerships, Microsoft; Dato’ Seri Mustapa Mohamed, Minister in the Prime Minister’s Department (Economy); K Raman, Managing Director, Microsoft Malaysia; Dr Fazidah Abu Bakar, Director, Digital Government Division and Acting Deputy-DG of MAMPU
Read the English version here
Kuala Lumpur, 01 Jun 2022 – Microsoft dan Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan kerjasama MyDIGITAL GovTech Innovation untuk meneruskan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia. Menerusi inisiatif ini, Microsoft dan agensi-agensi utama kerajaan seperti MyDIGITAL Corporation dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan menyediakan latihan untuk kakitangan sektor awam untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran digital, lantas menyokong aspirasi negara untuk mencapai pembangunan yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.
Pengumuman pada hari ini menandakan satu lagi mercu jaya dalam kerjasama Kerajaan Malaysia dengan Microsoft, dalam usaha mencapai sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Sasarannya termasuk 80% penggunaan storan pengkomputeran awan merentas sektor awam pada tahun 2022 dan mencapai tahap celik digital 100% dalam kalangan penjawat awam dan juga menyediakan perkhidmatan Kerajaan dalam talian serba lengkap pada tahap 80% menjelang tahun 2025.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, “Peranan perkhidmatan awam Malaysia penting untuk membina daya tahan ekonomi negara dalam suasana yang mencabar ini. Kerjasama jangka panjang kami dengan Microsoft akan membolehkan perkhidmatan awam beroperasi secara lebih inovatif, berpandukan data dan bertumpukan rakyat untuk mencari penyelesaian dan juga merangka dasar-dasar berkesan. Inisiatif seperti ini adalah satu langkah penting untuk melengkapkan Malaysia dengan keupayaan untuk membangunkan ekonomi yang mendahulukan digital (digital-first). Kami mengalu-alukan sumbangtara berterusan Microsoft sebagai rakan teknologi dan ilmu pengetahuan kepada Malaysia, termasuk komitmen mereka untuk melatih 300,000 orang menjelang 2024 dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).”
Pengumuman hari ini turut menyokong Rangka Kerja Teknologi Awan (CFA) yang ditandatangani antara Microsoft dan MAMPU baru-baru ini, untuk membina rangkaian awan yang boleh dipercayai dan memperkasakan sektor awam di Malaysia untuk mencapai transformasi digital.
“Kami berusaha untuk memperkasakan setiap orang dan setiap organisasi di muka bumi untuk mencapai lebih lagi. Semua orang mesti menikmati manfaat teknologi. Usaha ini jelas dilihat daripada komitmen kami kepada Malaysia. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 Microsoft bertapak di Malaysia, dan kami berbesar hati untuk meraikannya bersama rakan-rakan kerjasama kami dari Kerajaan Malaysia. Microsoft bertekad meneruskan kerjasama kami untuk membolehkan Malaysia memanfaatkan kepakaran dan keupayaan kami dalam bidang teknologi bagi memacu pertumbuhan terangkum dan membina daya tahan dalam era digital,” kata Jean-Philippe Courtois, Naib Presiden Eksekutif dan Presiden, Kerjasama Transformasi Negara, Microsoft.
K Raman, Pengarah Urusan Microsoft di Malaysia berkata, “Sejak menubuhkan operasi kami di Malaysia pada tahun 1992, Microsoft telah menjadi rakan teknologi yang dipercayai kepada negara ini dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi digital sambil membina keupayaan digital orang ramai. Kerjasama ini dikukuhkan lagi sempena pelancaran inisiatif Microsoft Bersama Malaysia tahun lepas, yang menzahirkan janji kami untuk menubuhkan pusat data serantau pertama negara ini dan membina kemahiran seramai 1 juta lagi rakyat Malaysia menjelang akhir 2023 sambil membentuk MyDigital Alliance Leadership Council untuk bekerjasama merangka dasar mendahulukan awan dan asli digital. Kerjasama MyDIGITAL GovTech Innovation merupakan landasan penting untuk menjadikan Malaysia pemimpin digital di rantau ini, dan Microsoft komited untuk bekerjasama dan menyokong negara dalam usaha mencapai matlamat tersebut.”
Pengumuman ini adalah susulan daripada Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani antara Microsoft dan MyDIGITAL Corporation sempena kunjungan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob ke Amerika Syarikat pada Mei 2022. LoI tersebut mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang berkenaan termasuk membangunkan keupayaan keselamatan siber, menggalakkan penggunaan teknologi digital oleh sektor awam dan memupuk bakat mahir untuk mengembangkan ekonomi digital.
Pengumuman kerjasama MyDIGITAL GovTech Innovation dengan Microsoft turut dihadiri oleh En. Fabian Bigar, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation dan Datuk Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp.